MIRI, 27 Oktober: Kemudahan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) St Columba Miri akan dinaik taraf menerusi peruntukan RM139,665 daripada kerajaan Sarawak bagi memastikan sistem pendawaian lebih sesuai dengan keperluan operasi sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, peruntukan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu akan digunakan untuk kerja pendawaian semula di blok pejabat pentadbiran dan bilik guru, selain pemasangan meter elektrik tambahan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan bekalan elektrik yang selamat dan stabil, sekali gus menyokong kelancaran urusan pentadbiran serta tugas harian guru.
“Kemudahan elektrik yang baik dan boleh dipercayai amat penting bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar. Bekalan elektrik yang selamat dan stabil mempunyai kaitan langsung dengan persekitaran kerja guru dan kakitangan, suasana pembelajaran serta keselamatan keseluruhan kawasan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan peruntukan UNIFOR kepada Guru Besar SK St Columba Miri, Francis Awos, di sekolah berkenaan pada Selasa.
Ting berkata, kemudahan sekolah yang diselenggara dengan baik penting bagi menyediakan persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, kerajaan Sarawak akan terus membantu sekolah dan institusi agama menerusi mekanisme peruntukan yang bersesuaian bagi meningkatkan kemudahan serta infrastruktur masing-masing.
Beliau berkata, bantuan sedemikian mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan inklusif dan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negeri.
Tambahnya, sokongan berterusan kepada institusi pendidikan dan agama turut membantu memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
Oleh Connie Chieng




