KUCHING, 27 Oktober: Seramai 17 individu terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita ditahan dalam Ops Cegah Bil. 75/2026 yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching bersama AADK Negeri Sarawak semalam.
Operasi berkenaan meliputi beberapa lokasi sekitar Kuching, termasuk Kampung Bintawa, Jalan Chawan, Taman Hui Sing, Taman Sri Wangi, Matang Batu 10, Semerah Padi dan Taman Dahlia Matang.

Menurut AADK, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan 1983 berkaitan rawatan dan pemulihan.
AADK Daerah Kuching akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dengan kerjasama AADK Negeri Sarawak bagi membendung penyalahgunaan dadah serta memelihara kesejahteraan masyarakat.




