SIMANGGANG, 27 Oktober: Projek naik taraf sistem perparitan di Kampung Muhibbah dan kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) bernilai RM24.9 juta akan dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir yang menjejaskan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) itu telah ditawarkan kepada kontraktor menerusi proses tender.
Menurutnya, Crest Reality Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor bagi melaksanakan projek berkenaan yang mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.
Projek itu bermula pada 12 Oktober lalu dan dijadualkan siap pada 11 Oktober 2028.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Rakyat bagi Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Muhibbah dan RPR, di sini, hari ini.
Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Muhibbah dan kawasan RPR, khususnya menerusi penambahbaikan sistem perparitan sedia ada bagi membantu menangani masalah banjir.
Penyerahan tapak berkenaan menandakan permulaan kerja-kerja naik taraf sistem perparitan yang diharap dapat meningkatkan keupayaan saliran di kawasan terbabit.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; wakil Residen Bahagian Sri Aman, Siti Haryanie Mohamad; Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), Alfred Geling; Jurutera DID Sri Aman, Alsyarossi Syafiee serta wakil konsultan dan kontraktor yang dilantik.
Oleh Adi Safarman




