Bukan normalisasi buli, ‘Kudrat 1968: High Council’ sampaikan pengajaran

Facebook
WhatsApp
ZULAIKHA Zakaria bergambar bersama pelakon filem Kudrat 1968: High Council.

KUALA LUMPUR, 27 Oktober: Di sebalik paparan konflik dan kekerasan dalam kalangan pelajar sekolah berasrama, Kudrat 1968: High Council membawa mesej perbuatan buli meninggalkan kesan bukan sahaja terhadap mangsa, tetapi juga pelaku.

Pengarahnya Zulaikha Zakaria berkata naskhah terbaharu terbitan Astro Shaw yang menggabungkan format siri televisyen dan filem itu bukan bertujuan mengagungkan atau menormalisasikan budaya kekerasan, sebaliknya mengetengahkan akibat daripada setiap tindakan keganasan menerusi perkembangan jalan cerita dan nasib watak-wataknya.

Beliau berkata jalan cerita naskhah berkenaan dirangka secara berhati-hati bagi memastikan tindakan watak dan kesan yang menyusuli dapat difahami penonton.

POSTER filem Kudrat 1968: High Council.

“Persepsi orang di luar sana adalah kami mempromosikan buli, tetapi setiap episod sebenarnya menunjukkan akibat serta-merta. Kita tunjuk apa yang berlaku, apabila anda bertindak begini, inilah padahnya.

“Benda itu ditunjukkan dengan pantas dan setiap babak ada pengajarannya tersendiri, bukan sengaja memaparkan tragedi tanpa sebab,” katanya pada majlis tayangan media filem berkenaan.

Zulaikha yang mengarahkan naskhah itu bersama-sama dengan pengarah muda Khairi Asyraff, berkata penceritaan tersebut turut menelusuri perkembangan watak dan kesan perbuatan mereka bagi memperlihatkan bagaimana kekerasan boleh mencetuskan rantaian akibat yang merosakkan kehidupan.

“Kita mahu penonton sedar kekerasan bukan jalan penyelesaian,” jelas beliau.

Pandangan itu turut disokong penerbit yang juga Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad yang menegaskan karya berkenaan cuba membawa masyarakat meneliti punca utama berlakunya kekerasan dalam kalangan remaja, yang lazimnya berakar umbi daripada persekitaran keluarga dan jurang sosial.

“Kami bukan sekadar menyentuh isu buli, tetapi turut memaparkan bagaimana seseorang pembuli itu boleh terbentuk.

“Menerusi karya ini, kami membangkitkan persoalan tentang jurang darjat dan konflik peribadi. Kadangkala nilai yang dibawa dari rumah dan didikan keluarga itulah yang membentuk peribadi seseorang anak sehingga menjadi ganas,” katanya.

Dalam pada itu, Zulaikha yang bertindak sebagai penulis skrip, mengakui tugas berat yang digalas kerana projek tersebut menuntut penggambaran siri dan filem dijalankan serentak, memerlukan pasukannya bekerja dengan pantas.

Beliau berkata proses persediaan dan uji bakat pelakon dilaksanakan secara intensif, manakala kedua-dua format menggunakan sudut pandang berbeza bagi memperincikan perkembangan emosi watak serta faktor yang mendorong tindakan mereka.

Membawa slogan ‘Darah Kita Sama’, filem Kudrat 1968: High Council yang diterajui Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Dai Fuad, Akmal Asyraf dan Evertts Gomes ini bakal menemui penonton di pawagam 29 Oktober ini.

Filem itu merupakan kesinambungan drama empat episod dengan tajuk sama yang ditayangkan di beberapa platform penstriman, selain merupakan prekuel Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024).

Karya terbabit mencetuskan polemik di media sosial atas dakwaan menggalakkan budaya buli dalam kalangan pelajar, ketika isu kekerasan di sekolah kian kerap dilaporkan termasuk ada yang meragut nyawa. – Bernama