Remaja 14 tahun dikhuatiri dibaham buaya ketika memunggah buah sawit di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau

Facebook
WhatsApp
MANGSA Mohd Nordin Mohd Othman, berasal dari Kampung Pelaie Ulu, Sebuyau, berusia 14 tahun. Foto PGO Bomba Sarawak

SEBUYAU, 27 Oktober: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan kerja-kerja memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau, petang semalam.

Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, berasal dari Kampung Pelaie Ulu, Sebuyau, dilaporkan hilang selepas disambar reptilia berkenaan kira-kira 5.30 petang.

Menurut maklumat yang diterima, kejadian itu disaksikan oleh bapa saudara mangsa yang berada bersama mangsa ketika insiden berlaku.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari pertama hari ini dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan serta penduduk kampung.

DATUK Snowdan Lawan turut hadir di lokasi pada 12.40 tengah hari bagi meninjau operasi berkenaan. Foto PGO Bomba Sarawak

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan tiba di lokasi pada 10.10 pagi sebelum operasi pencarian dimulakan pada 10.30 pagi.

Operasi itu menggunakan empat buah bot dengan kekuatan kira-kira 40 anggota daripada agensi terlibat dan penduduk kampung.

Pencarian pada sesi pagi tertumpu di kawasan sungai dalam radius dua kilometer ke arah hulu dan hilir dari lokasi kejadian.

Antara agensi yang terlibat ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain bantuan penduduk setempat.

LOKASI seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan kerja-kerja memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau. Foto PGO Bomba Sarawak

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan turut hadir di lokasi pada 12.40 tengah hari bagi meninjau operasi berkenaan.

Operasi dihentikan sementara pada 1.00 petang sebelum dijadualkan disambung semula pada 2.00 petang.

Setakat laporan operasi pada tengah hari, mangsa masih belum ditemukan. Usaha pencarian diteruskan bagi mengesan mangsa, meskipun pasukan berdepan kekangan liputan rangkaian telekomunikasi yang tidak stabil di kawasan berkenaan.

Operasi SAR dikendalikan oleh BBP Simunjan dengan kerjasama agensi berkaitan serta penduduk kampung bagi memperluas pencarian di sepanjang Sungai Plaie Ulu.

Oleh Adi Safarman

SKS 2026 di Sri Aman sasar 100,000 pengunjung

SIMANGGANG, 27 Oktober: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga