PETRA JAYA, 27 Oktober: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar telah memaklumkan secara rasmi pembubaran DUN Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 diteruskan.
Beliau berkata, surat pemakluman bertarikh 27 Oktober itu telah dihantar kepada Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun, berhubung pembubaran DUN yang berkuat kuasa semalam (26 Oktober).
Menurutnya, SPR mempunyai bidang kuasa untuk menetapkan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta mengendalikan perjalanan pilihan raya selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab eksklusif SPR untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian serta mengendalikan pilihan raya,” katanya pada sidang media khas di Kompleks DUN Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN, manakala DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Asfia berkata PRN Sarawak Ke-13 akan melibatkan 82 kerusi DUN sedia ada, manakala 17 kerusi tambahan yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 tidak dapat digunakan dalam pilihan raya kali ini.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pada 23 Oktober lalu bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Oleh Adele Rissa





