KUCHING, 27 Oktober: Samalaju terus merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 151 setakat tengah hari ini, berbanding 152 pada 9.00 pagi tadi.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), bacaan itu menunjukkan penurunan satu mata dalam tempoh tiga jam, namun status kualiti udara di kawasan berkenaan kekal pada kategori tidak sihat.
Sebahagian besar kawasan lain di Sarawak mencatatkan bacaan Ipu sederhana, manakala Bario merekodkan kualiti udara baik dengan bacaan 30 berbanding 33 pada 9.00 pagi tadi.
Antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Bintulu (94), Belaga (91), Serian (86), Sibu (81), Sri Aman (81), Samarahan (79), Kanowit (79), Tebedu (78), Lubok Antu (78), Kuching (79), Sarikei (74), Mukah (69), Kapit (69), Lundu (71), Miri (62), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (56), Limbang (52) dan Lawas (52).
Berbanding bacaan pada 9.00 pagi, beberapa kawasan menunjukkan penurunan, termasuk Sibu daripada 87 kepada 81, Serian daripada 90 kepada 86, Sarikei daripada 79 kepada 74 dan Mukah daripada 74 kepada 69.
Sementara itu, bacaan Ipu di Betong menurun daripada 98 kepada 97 berdasarkan pemantauan menggunakan kaedah Pemantauan Kualiti Udara Bergerak Berterusan (MCAQM).
Berdasarkan pengelasan Ipu, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 tidak sihat.
Orang ramai, khususnya di Samalaju, disaran supaya peka terhadap perkembangan kualiti udara dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak di luar sekiranya keadaan udara menjejaskan kesihatan.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar.
Oleh Shikin Mahmud




