MUKAH, 27 Oktober: Seorang pemandu lori kecil tiga tan mengalami kecederaan selepas kenderaan dipandunya dilanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 28, Jalan Balingian-Kuala Balingian, kira-kira 2.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas ekspres jenis HINO berkenaan dipercayai cuba memotong lori kecil yang berada di hadapannya.
“Difahamkan, lori kecil tersebut dipercayai sedang membelok ke kanan menyebabkan bas ekspres berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, lori kecil berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik di tepi jalan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori kecil, yang merupakan seorang lelaki berusia 53 tahun, mengalami sakit kepala dan dirujuk ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Walau bagaimanapun, pemandu bas yang sedang dalam perjalanan dari Mukah menuju ke Bintulu serta kesemua 12 penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rizal berkata, kesemua penumpang bas ekspres terbabit telah dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Bintulu.
“Lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua hala dengan permukaan rata dan kering.
“Kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan di bahagian hadapan bas ekspres, manakala lori kecil mengalami kerosakan di bahagian belakang dan bumbung,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Jimmy Anak Langan di talian 011-15616525.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Adibfahmy




