“Jika saya dicalonkan, pantang mundur, Pak!” – Asfia

Facebook
WhatsApp
TAN Sri Mohamad Asfia Awang Nassar ketika bercakap pada sidang media khas di Kompleks DUN Sarawak, hari ini. Foto Nadya Victoria

PETRA JAYA, 27 Oktober: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar tidak menolak kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sekiranya dicalonkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Jika saya dicalonkan, jawapan saya, pantang mundur, Pak!” katanya pada sidang media khas di Kompleks DUN Sarawak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap PBB berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan beliau bertanding pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Asfia menjelaskan bahawa seseorang Speaker boleh bertanding dalam pilihan raya sekiranya dicalonkan oleh parti yang dianggotainya, meskipun jawatan Speaker tidak semestinya memerlukan penyandangnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata, undang-undang membolehkan seseorang yang bukan ADUN dilantik sebagai Speaker DUN.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pada 23 Oktober lalu bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun, Asfia tidak mengesahkan sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya berkenaan, sebaliknya menyatakan kesediaannya sekiranya dicalonkan oleh parti.

Oleh Adele Rissa