KUCHING, 26 Oktober: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak di daerah Tebedu akan beroperasi seperti biasa mulai esok, 27 Oktober.
Keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat 2.00 petang tadi serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa kawasan di Sarawak.
Ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Dalam kenyataan media hari ini, JPN Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika menghadapi cuaca panas atau keadaan cuaca luar jangka.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.




