KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Data lokasi bukan sekadar maklumat perjalanan, sebaliknya mempunyai nilai strategik yang boleh mendedahkan corak pergerakan individu, khususnya penjawat awam dan pemimpin negara, sekali gus menjadikan perlindungannya aspek penting dalam keselamatan siber dan kedaulatan data negara.
Penolong Naib Canselor Kolej Sastera dan Sains (CAS) merangkap Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Osman Ghazali berkata larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi penjawat awam merupakan langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko pendedahan maklumat sensitif.
“Dalam konteks keselamatan siber, kita perlu melihat data lokasi sebagai maklumat sensitif kerana perkara itu boleh mendedahkan corak pergerakan seseorang, khususnya individu yang memegang jawatan penting,” katanya semasa bersiaran dalam program Fokus 15 bertajuk Aplikasi Navigasi: Selamatkah Data Kita? terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan dalam pengurusan risiko keselamatan siber bagi mengelakkan maklumat sensitif terdedah kepada ancaman, berbanding hanya mengambil tindakan selepas berlakunya pencerobohan atau kebocoran data.
Osman berkata larangan itu terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi, manakala orang awam masih bebas memilih aplikasi navigasi untuk kegunaan peribadi.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna supaya menyemak tetapan privasi pada telefon pintar, khususnya kebenaran akses lokasi bagi setiap aplikasi bagi mengurangkan pendedahan data peribadi.
“Pengguna perlu menukar tetapan kebenaran lokasi daripada ‘Always Allow’ kepada ‘Only While Using the App’ supaya aplikasi hanya dapat mengakses lokasi ketika digunakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ciri “Invisible Mode” dalam aplikasi navigasi tidak semestinya menghentikan pengumpulan data pergerakan oleh penyedia aplikasi, sebaliknya hanya menyembunyikan ikon kenderaan pengguna daripada orang lain pada peta awam.
Oleh itu, pengguna disaran memadamkan sejarah carian dan perjalanan secara berkala, memutuskan pautan akaun media sosial yang tidak diperlukan serta mengemas kini sistem operasi peranti bagi meningkatkan perlindungan data peribadi.
Mengulas potensi aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, Osman berkata inisiatif berkenaan boleh membantu memperkukuh kedaulatan digital negara, namun penerimaan pengguna bergantung pada keupayaannya menyediakan perkhidmatan yang setanding dengan aplikasi sedia ada.
“Aplikasi tempatan perlu bukan sahaja tepat dari segi navigasi, tetapi juga mampu menyediakan maklumat trafik masa nyata, beroperasi secara stabil dan memastikan keselamatan data pengguna,” katanya.
Beliau berkata aplikasi berkenaan perlu menawarkan anggaran masa ketibaan yang tepat, mencadangkan laluan alternatif yang sesuai serta mengekalkan kestabilan perkhidmatan walaupun berdepan dengan peningkatan jumlah pengguna secara mendadak.
Dari segi keselamatan, Osman berkata perlindungan data perlu diberi keutamaan melalui penggunaan penyulitan yang kukuh, pengurusan penyimpanan data yang selamat serta pematuhan terhadap undang-undang berkaitan.
Beliau turut mencadangkan supaya aplikasi navigasi tempatan dilengkapi dengan ciri tambahan yang memenuhi keperluan pengguna di Malaysia termasuk maklumat trafik lebuh raya, plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R), lokasi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), amaran banjir serta butang bantuan kecemasan.
Osman berkata cabaran utama untuk memperluas penggunaan aplikasi tempatan ialah kebiasaan pengguna terhadap platform sedia ada, justeru penambahbaikan teknologi, penglibatan pakar tempatan dan maklum balas pengguna penting untuk meningkatkan prestasi serta keyakinan orang ramai.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang bagi seluruh penjawat awam.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel. – Bernama





