KUCHING, 25 Oktober: Konsep wakaf perlu diperluas bukan sahaja merangkumi tanah dan aset, malah turut melibatkan sumbangan idea serta kepakaran bagi memperkukuh kedudukan ekonomi masyarakat Islam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu dapat membuka ruang kepada lebih banyak bentuk sumbangan yang boleh dimanfaatkan secara berterusan untuk pembangunan ummah, termasuk dalam bidang pendidikan, kemahiran dan kebajikan.

Menurutnya, kekuatan wakaf perlu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh bagi menyokong usaha dakwah serta meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) ke-65 di sini.
Abang Johari yang juga Yang Dipertua PERKIM berkata, Sarawak telah menubuhkan sebuah badan bagi menguruskan wakaf, selain meminda undang-undang tanah bagi memastikan harta yang diwakafkan kepada badan berkenaan didaftarkan atas nama amanah wakaf.

Langkah itu penting bagi memperkemas tadbir urus serta memastikan pengurusan harta wakaf dilaksanakan secara lebih teratur.
Jelasnya, potensi wakaf juga perlu dimanfaatkan untuk membiayai usaha jangka panjang, termasuk menyediakan peluang pendidikan, pembangunan kemahiran dan bantuan kebajikan kepada saudara baharu.
Katanya, sumbangan wakaf bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan aset fizikal, sebaliknya idea dan pengetahuan juga boleh menjadi sumber yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mahu membawa pendekatan berkenaan ke peringkat kebangsaan dengan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya pengurusan aset yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan lebih aktif dan menyeluruh.
Menurutnya, usaha memperkukuh pengurusan wakaf memerlukan kerjasama serta perkongsian idea antara semua pihak bagi memastikan sumber yang tersedia dapat dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat.
Beliau turut menggesa PERKIM meneliti resolusi yang dicapai menerusi Konvensyen Antarabangsa Wakaf Dakwah 2026 supaya cadangan yang dikemukakan dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan.
Katanya, pengurusan wakaf yang berkesan mampu menjadi instrumen berterusan untuk memperkukuh dakwah, kebajikan dan pembangunan masyarakat Islam.
Oleh Afiq Sallehi





