SARATOK, 25 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkongsi pelbagai projek pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Antu dan Rumah Panjang Dom Brues bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau berkata, antara projek yang telah berjaya dilaksanakan termasuk pembinaan dewan serbaguna, kerja-kerja menaik taraf bangunan sekolah, pemasangan lampu berkuasa solar serta bantuan menaik taraf rumah penduduk menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Selain itu, pemasangan sengkuap di kawasan berkenaan turut dilaksanakan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi manfaat kepada komuniti setempat dan warga sekolah.
Menurut Mohamad Duri, pelaksanaan projek-projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar.
“Sesungguhnya perbezaan kaum, latar belakang mahupun kepercayaan tidak menghalang masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka untuk menzahirkan semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Antu, dekat sini semalam.
Majlis yang berlangsung meriah itu telah diadakan di Rumah Panjang Dom Brues Michael Gomes Sungai Antu, dekat sini, dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Mohamad Duri berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti pelbagai kaum.
Beliau turut menyifatkan majlis kali ini sebagai istimewa kerana bukan sahaja berpeluang menyantuni warga pendidik SK Sungai Antu, malah dapat bersama-sama penduduk Rumah Panjang Dom Brues Sungai Antu dalam suasana penuh kemesraan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Guru Besar SK Sungai Antu, Mcalicester Wan serta Yang Dipertua PIBG, Dom Brues yang sama-sama menjayakan acara berkenaan.
Oleh Adi Safarman




