Debak miliki potensi besar bangunkan ekonomi komuniti melalui koperasi – Dr Razi Sitam

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam semasa hadir pada Program Cakna Koperasi: Membina Kesedaran, Mencipta Peluang anjuran IKMa Zon Sarawak dengan kerjasama SABERKAS Unit Debak di Dewan Perpaduan Debak. Foto: ADUN Saribas

DEBAK, 25 Oktober: Gerakan koperasi perlu dijadikan instrumen utama dalam memperkasa ekonomi rakyat dengan mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan, meningkatkan pendapatan isi rumah serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, pendekatan penganjuran bersama program antara pelbagai agensi dan pertubuhan merupakan strategi penting bagi menggabungkan kepakaran, sumber dan kekuatan semua pihak demi manfaat masyarakat.

Menurut beliau, kerjasama antara Institut Koperasi (IKMa) Zon Sarawak dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Unit Debak menerusi Program ‘Cakna Koperasi: Membina Kesedaran, Mencipta Peluang’ menjadi contoh terbaik bagaimana institusi pembangunan koperasi dan pertubuhan masyarakat dapat berganding bahu memperkasakan komuniti setempat.

SITI Maimunah menyampaikan cenderahati kepada Datuk Dr Mohammad Razi Sitam. Foto: ADUN Saribas

“Program anjuran bersama bukan sekadar perkongsian tanggungjawab, tetapi merupakan usaha kolektif untuk menggembleng kekuatan pelbagai pihak dalam mencipta peluang, memperluas manfaat dan memastikan pembangunan masyarakat dilaksanakan secara lebih bersepadu serta mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna Koperasi: Membina Kesedaran, Mencipta Peluang anjuran IKMa Zon Sarawak dengan kerjasama Saberkas Unit Debak di Dewan Perpaduan Debak, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi masyarakat perlu diterjemahkan melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kualiti hidup, bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, kawasan Debak yang mempunyai lebih 16,000 penduduk memiliki potensi besar untuk membangunkan pelbagai aktiviti ekonomi melalui koperasi dengan penglibatan golongan belia, wanita, petani dan usahawan tempatan.

Beliau turut mendedahkan terdapat sebanyak 70 koperasi di Bahagian Sri Aman dan 70 koperasi di Daerah Saratok, termasuk koperasi sekolah, koperasi kolej dan koperasi dewasa yang terlibat dalam sektor pengguna, perkhidmatan serta pertanian.

Menurutnya, sektor pertanian dan agromakanan antara bidang yang boleh diperkasakan melalui model koperasi, termasuk aktiviti penanaman cili dan terung secara fertigasi serta pembangunan Agropark Lubok Tamang yang memberi tumpuan kepada penanaman kelapa.

“Melalui pendekatan berkoperasi, petani dapat berkongsi kemudahan, memperoleh input pertanian secara pukal dan memperluaskan pasaran hasil pengeluaran. 

“Pada masa sama, produk hiliran seperti sambal cili, santan dan minyak kelapa berpotensi memberikan nilai tambah kepada hasil pertanian tempatan,” ujarnya.

Selain itu, Dr Mohammad Razi melihat koperasi pengguna dan perkhidmatan mampu memenuhi keperluan harian masyarakat melalui pembukaan kedai komuniti, pusat jualan sehenti serta platform pemasaran produk tempatan.

Beliau uga menggalakkan golongan belia dan wanita meneroka peluang perniagaan melalui koperasi dalam bidang seperti perkhidmatan cucian kenderaan, penyediaan makanan, jahitan, penghantaran barangan dan perkhidmatan digital.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Razi berkata pembangunan Waterfront Debak atau Tebingan Sungai Debak perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin baharu kepada sektor perniagaan, pelancongan dan rekreasi tempatan.

Katanya, kawasan tersebut berpotensi membuka ruang kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk penjualan produk tempatan, kraftangan, perniagaan makanan dan pengurusan inap desa.

Beliau berharap masyarakat Debak tidak hanya menjadi pengguna, tetapi turut berperanan sebagai pengeluar, pengusaha dan pemilik aktiviti ekonomi yang dibangunkan di kawasan sendiri.

“Saya percaya apabila kesedaran disertai dengan pengetahuan, kerjasama dan usaha berterusan, lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan, pendapatan keluarga dapat dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat dapat diperkukuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek pembangunan modal insan, kepimpinan berintegriti, tadbir urus yang baik dan pemikiran keusahawanan perlu diberi perhatian bagi memastikan koperasi terus berkembang sebagai entiti ekonomi yang berdaya maju dan mampan.

Program tersebut diharap menjadi titik permulaan kepada usaha memperluas penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi serta membuka lebih banyak peluang ekonomi demi pembangunan komuniti Debak yang progresif, inklusif dan sejahtera.

Turut hadir Pengarah Zon Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak, Siti Maimunah Jerni, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sarawak, Norazlan Anuar dan Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohamad Ibrahim.

Oleh Adi Safarman