SONG, 25 Oktober: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat kini dilengkapi kemudahan baharu menerusi Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 2), Pakej 10, dengan kos RM10 juta.
Majlis perasmian projek berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal) JKR Sarawak, Ts. Meehan Jorai, serta wakil JKR Sarawak.

Rombongan turut meninjau kemudahan baharu yang disediakan bagi memastikan semua fasiliti berfungsi dengan baik serta memenuhi keperluan murid dan warga sekolah.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan blok pentadbiran empat tingkat, dua blok berek Jenis C, asrama lelaki dan perempuan serta sebuah rumah pam.
Penyediaan kemudahan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran dan penginapan yang lebih selesa, selamat serta kondusif, sekali gus memenuhi keperluan harian murid dan pengurusan sekolah.

Pembangunan semula sekolah daif merupakan antara usaha untuk meningkatkan mutu infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan kemudahan lebih baik bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.
JKR Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan pembangunan infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kemudahan awam serta kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.
Dengan siapnya kemudahan baharu itu, SK Nanga Temalat kini mempunyai prasarana lebih lengkap bagi menyokong urusan pentadbiran, penginapan dan pembelajaran dalam persekitaran sekolah yang lebih teratur dan selesa.
Oleh Adi Safarman




