Kereta rempuh pembahagi jalan berhampiran Serudit, pemandu cedera

Facebook
WhatsApp
SEBUAH kereta Perodua Bezza yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran susur pusingan P, dekat Serudit. Foto APM Spaoh

SPAOH, 25 Oktober: Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Serudit, petang ini.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.20 petang.

Kemalangan kendiri itu dilaporkan berlaku berhampiran susur pusingan P di Lebuh Raya Pan Borneo, membabitkan laluan dari Spaoh menghala ke Betong.

Susulan laporan itu, empat anggota Skuad Aspa-02 Bravo yang diketuai Lans Koperal Pertahanan Awam (PA) Junai Abdul Samat digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat dan memberikan bantuan kecemasan.

Setibanya di lokasi, pasukan APM mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan selepas merempuh pembahagi jalan.

Pemandu terbabit mengalami kecederaan pada bahagian muka serta pendarahan hidung akibat hentaman dalam kemalangan itu.

Pasukan penyelamat memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum memasang pendakap leher sebagai langkah keselamatan bagi menstabilkan leher dan tulang belakangnya.

Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, APM menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu, khususnya di lebuh raya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi PKOD APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman