60 murid SK Kampung Subak sertai program antidadah

Facebook
WhatsApp
PROGRAM antidadah di SK Kampung Subak bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan murid tentang kepentingan menjauhi dadah sejak usia muda.

BEKENU, 25 Oktober: Seramai 60 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Subak, Bekenu menyertai program ceramah dan pameran mini antidadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, semalam.

Program sempena Minggu Antidadah sekolah itu bertujuan meningkatkan kesedaran murid tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat sejak usia muda.

Ceramah disampaikan oleh Khairul Fadzli Kedri daripada Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Daerah Miri.

Peserta program terdiri daripada murid prasekolah hingga Tahun Enam serta guru sekolah berkenaan.

Menerusi ceramah dan pameran itu, murid diberikan pendedahan tentang kepentingan menjauhi dadah serta melindungi diri daripada pengaruh negatif.

Dalam kenyataannya, AADK Daerah Miri menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan generasi bebas dadah.

Agensi itu turut mengalu-alukan jemputan daripada pihak sekolah dan pelbagai pihak lain untuk melaksanakan program pendidikan serta pencegahan dadah, sekali gus memperluas kesedaran masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Oleh Adum Liu