SEMATAN, 25 Oktober: Kerajaan Sarawak telah meluluskan cadangan pembangunan padang golf di kawasan antara Sematan dan Telok Melano sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pelancongan di kawasan barat negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek berkenaan bagaimanapun bergantung kepada pihak yang mengemukakan cadangan pembangunan tersebut.
“Memang kita sudah meluluskan satu cadangan golf, yang terpulang kepada mereka, tetapi sudah ada satu golf di kawasan antara Sematan dan Telok Melano,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026 di Pantai Abang Amin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano telah dikenal pasti sebagai pusat pelancongan sejak pentadbiran Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Telok Melano dengan Kuching turut membuka peluang untuk memperluas aktiviti pelancongan dan riadah di kawasan berkenaan.
“Pembangunan pelancongan itu juga boleh diperluas sehingga ke Bau yang mempunyai tarikan sejarah perlombongan emas.
“Selain itu, kawasan pesisir pantai Sematan serta pulau berhampiran seperti Pulau Satang dan Pulau Talang-Talang turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, pembangunan kemudahan hospitaliti juga penting bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Institusi pengajian tinggi di Sarawak turut menawarkan program pengajian hospitaliti bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mutu perkhidmatan kepada pelancong,” ujarnya.
Untuk rekod, pada Mac 2025, Abang Johari pernah mengumumkan perancangan menjadikan Telok Melano sebagai destinasi pemulihan selepas rawatan perubatan, termasuk penyediaan padang golf dan pusat peranginan bertaraf antarabangsa.





