SEMATAN, 25 Oktober: Pembinaan dan penambahan tukun tiruan di perairan Sarawak berpotensi menjadikan aktiviti memancing rekreasi sebagai produk pelancongan baharu yang mampu menarik kedatangan pelancong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tukun tiruan boleh menjadi habitat ikan, sekali gus menyediakan kawasan yang sesuai untuk aktiviti memancing sebagai sukan.
“Usaha menambah tukun tiruan boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan populasi ikan di kawasan tertentu, selain menyokong pembangunan pelancongan berasaskan aktiviti marin.
“Kalau kita letakkan lagi (tukun tiruan), ia akan menjadi rumah kepada ikan-ikan ini.
“Jadi, kalau kita boleh kenal pasti, saya fikir sukan memancing boleh dimajukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026 di Pantai Abang Amin, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemeliharaan kawasan terumbu karang sedia ada juga penting bagi memastikan hidupan marin mempunyai habitat yang sesuai untuk membiak dan berlindung.
Katanya, kawasan perairan Sarawak mempunyai potensi untuk dimanfaatkan sebagai lokasi memancing rekreasi sekiranya kawasan yang sesuai dapat dikenal pasti.
Beliau turut berkongsi pengalaman memancing di perairan berkenaan semalam, namun tidak berjaya memperoleh hasil tangkapan.
Menurutnya, kemudahan bot yang tersedia juga boleh dimanfaatkan bagi menyokong aktiviti memancing rekreasi di kawasan perairan yang berpotensi.
Pembangunan aktiviti itu dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan, khususnya pengusaha bot dan mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan.





