SFC terima sumbangan RM10,000 daripada Kumpulan Rimbun untuk program pemuliharaan

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK penyampaian sumbangan RM10,000 daripada Kumpulan Rimbun kepada SFC disaksikan oleh Premier Sarawak (tengah).

SEMATAN, 25 Oktober: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menerima sumbangan RM10,000 daripada Kumpulan Rimbun bagi menyokong pelaksanaan program pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar di Sarawak.

Menurut kenyataan SFC hari ini, sumbangan tersebut disampaikan sempena penganjuran Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026 yang berlangsung di Pantai Abang Amin, Sematan.

Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Rimbun, Bouteflika Ahmad kepada Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran.

Abang Arabi turut memegang jawatan sebagai Pengawal Taman Negara dan Rizab Semula Jadi Sarawak serta Pengawal Hidupan Liar Sarawak.

Menurut kenyataan itu, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi menyokong program pemuliharaan SFC, khususnya dalam usaha melindungi khazanah alam semula jadi dan hidupan liar negeri ini.

Kerjasama berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh komitmen bersama antara sektor korporat dan agensi berkaitan dalam memastikan kelestarian alam sekitar Sarawak terus terpelihara.

Dalam pada itu, SFC merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Rimbun atas sumbangan dan sokongan yang diberikan terhadap usaha pemuliharaan alam semula jadi di negeri ini.