Penyedia aplikasi TuJu perlu segera tingkat prestasi – Teo

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada 220 penerima dikalangan masyarakat India sempena Deepavali 20206 Parlimen Kulai di Sri Maha Mariamman Kovil, Kulai Besar hari ini. Foto Bernama

KULAI, 24 Oktober: Syarikat yang menyediakan aplikasi TuJu perlu segera menambah baik prestasi aplikasi berkenaan bagi mendapatkan keyakinan pengguna, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata aplikasi TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) perlu ditambah baik secepat mungkin susulan ketidakpuasan hati orang ramai terhadap prestasi aplikasi itu.

Beliau berkata pihak berkenaan memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk melaksanakan penambahbaikan, namun berharap tindakan sewajarnya diambil segera.

“Kalau kita nak menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tersebut, saya rasa aplikasi itu perlulah mencapai tahap minimum untuk mendapatkan keyakinan pengguna.

“Saya harap mereka ambil tindakan secepat mungkin. Itu bukan satu perkara yang boleh kita remeh-temehkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Sumbangan Deepavali 2026 dan sidang media di Kulai Besar, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memohon maaf kepada orang ramai yang berdepan pelbagai masalah ketika menggunakan aplikasi navigasi TuJu.

Anwar berkata keadaan itu berpunca daripada kelewatan syarikat berkenaan memperkemas aplikasi berkenaan.

Rabu lepas, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu diambil selepas mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang negara berkenaan.

Langkah itu diambil kerana maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat oleh rejim Israel sehingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

Kenyataan itu menyebut Anwar menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu, dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan. – Bernama