SPAOH, 24 Oktober: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban mempergiat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) dengan memperkukuh penyelarasan gerak kerja parti serta penglibatan anggota di peringkat akar umbi.
Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah berkata, persiapan itu menjadi antara fokus utama mesyuarat pergerakan berkenaan yang berlangsung di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, hari ini.
Beliau berkata, golongan wanita akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh jentera parti bagi memastikan gerak kerja menjelang PRN13 dapat dilaksanakan dengan lebih aktif dan tersusun.
Menurutnya, wanita merupakan antara tunjang utama PBB Sarawak dan penglibatan mereka di Bukit Saban akan terus diperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Jadi untuk PRN13 yang akan datang, wanita akan bergerak dengan aktif dan akan membuat apa yang sepatutnya diperhebatkan lagi.
“Kerana wanita ini memang adalah tunjang bagi Parti PBB Sarawak. Jadi wanita ini memang aktif di Bukit Saban,” katanya.
Selain persiapan menghadapi PRN13, mesyuarat itu turut membincangkan pelaksanaan program terdekat, termasuk bengkel pengucapan awam bagi meningkatkan kemahiran komunikasi serta keyakinan anggota wanita.
Usaha memperluas aktiviti ekonomi wanita di setiap ranting turut diberi perhatian sebagai langkah memperkasa peranan golongan itu bukan sahaja dalam parti, malah dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu turut dihadiri kesemua 17 ketua ranting Wanita PBB Cawangan Bukit Saban.
Penyertaan semua ketua ranting berkenaan memperlihatkan komitmen pergerakan itu untuk memperkukuh kesepaduan organisasi, menyelaraskan perancangan serta memastikan penglibatan wanita terus menjadi kekuatan dalam gerak kerja parti di Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman





