Jangan anggap masyarakat Cina Sarawak sebagai pendatang – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada Seminar Kebudayaan Rakyat Zhao An (Chawan) sempena ulang tahun ke-90 Persatuan Chawan Sarawak di Hotel Imperial, Kuching.

KUCHING, 24 Oktober: Masyarakat Cina di Sarawak tidak seharusnya dianggap sebagai pendatang memandangkan komuniti berkenaan mempunyai sejarah penempatan yang panjang di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masyarakat Cina telah menjadi sebahagian daripada sejarah dan perkembangan Sarawak sejak beberapa generasi lalu.

“Kita tidak mahu masyarakat Cina di Sarawak dianggap sebagai pendatang. Kita benar-benar menolak perkara itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebudayaan Rakyat Zhao An (Chawan) sempena ulang tahun ke-90 Persatuan Chawan Sarawak di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, kewujudan tanah perkuburan lama masyarakat Cina di sekitar kawasan Muzium Sarawak menunjukkan komuniti berkenaan telah lama menetap di negeri ini.

“Kawasan perkuburan tersebut dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun lalu, malah sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak.

“Masyarakat Cina juga mempunyai peranan dalam membangunkan penempatan awal, termasuk menubuhkan sekolah dan rumah ibadat bagi memenuhi keperluan komuniti masing-masing,” jelasnya.

SESI penyampaian cenderamata penghargaan kepada Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena ulang tahun ke-90 Persatuan Chawan Sarawak di Hotel Imperial, Kuching.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, isu kaum dan agama sering dimanipulasi oleh segelintir ahli politik untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan tersebut berbeza di Sarawak yang menurutnya terus mengamalkan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Sementara itu, Abdul Karim memuji Persatuan Chawan Sarawak yang menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya atas usaha berterusan memelihara identiti dan warisan masyarakat berkenaan.

“Sejarah penghijrahan dan perkembangan masyarakat Chawan di Sarawak wajar didokumentasikan supaya generasi muda memahami cabaran yang dilalui nenek moyang mereka ketika mula menetap di negeri ini.

“Golongan muda perlu mempelajari dialek, adat resam dan kesenian tradisional masyarakat Chawan bagi memastikan warisan tersebut terus dipelihara,” ujarnya.

Untuk rekod, seminar anjuran bahagian belia persatuan itu mengetengahkan dialek Zhao An, seni kaligrafi Cina dan seni guntingan kertas tradisional sebagai usaha memperkenalkan warisan masyarakat berkenaan kepada generasi muda.

Oleh Masrin Affirah