Festival Saga Nusantara 2026 platform perkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia

Facebook
WhatsApp
KENANGAN… Gambar selepas sesi perasmian berlangsung. Foto Adibfahmy

MUKAH, 24 Oktober: Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 menjadi landasan dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian budaya.

Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf berkata, festival ini berfungsi sebagai platform untuk masyarakat berkumpul dan meraikan kepelbagaian budaya.

“Ikatan budaya antara masyarakat Melanau dan Jawa dapat diperkukuhkan melalui perkongsian tradisi, seni, masakan dan amalan budaya.

“SNF2026 turut memupuk persefahaman bersama, mengeratkan persahabatan dan membina hubungan yang berpanjangan antara komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, bertempat di Petanak Beach Chalet dan Cafe, hari ini.

PENGARAH Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf ketika merasmikan Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 di Petanak Beach Chalet dan Cafe, Mukah. Foto Adibfahmy

Dalam pada itu, beliau turut berkata, Sarawak amat terkenal dengan kepelbagaian budaya, tradisi yang unik dan landskap semula jadi yang indah.

“Ciri-ciri ini merupakan aset yang bernilai, menjadikan Sarawak sebagai destinasi menarik bagi pelancong dalam dan luar negara.

“Festival ini juga menjadi peluang untuk mempamerkan produk tempatan, kraftangan, persembahan kebudayaan serta kreativiti usahawan tempatan kepada khalayak yang lebih luas,” katanya lagi.

Tegasnya, acara sebegini berpotensi untuk merangsang ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang kepada peniaga, perusahaan kecil dan sederhana serta komuniti setempat.

Turut dihadiri Konsul Jenderal Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli, Pengerusi SNF 2026, Abdul Aziz Mura’ee dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Kevin Jantan.

Oleh Adibfahmy