KUCHING, 24 Oktober: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah belum pasti sama ada akan bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang atau terus menerajui portfolio pelancongan selepas pilihan raya.
Beliau menyentuh perkara itu ketika menjelaskan kedudukan pentadbiran kerajaan negeri menjelang PRN susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa Isnin ini.
“Saya belum pasti sama ada akan bertanding pada pilihan raya atau masih mengendalikan portfolio pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebudayaan Rakyat Zhao An (Chawan) sempena ulang tahun ke-90 Persatuan Chawan Sarawak di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, barisan Kabinet Sarawak masih menjalankan tugas, namun terdapat batasan tertentu terhadap kuasa menteri apabila kerajaan beroperasi sebagai kerajaan sementara.
Menurutnya, antara perkara yang tidak boleh dilakukan ialah meluluskan geran baharu sehingga pilihan raya selesai.
“Kabinet masih ada, tetapi kita hanya kerajaan sementara dan terdapat banyak perkara yang tidak boleh dilakukan.
“Menteri tidak boleh lagi memberikan geran baharu sehingga pilihan raya selesai,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan sebarang keputusan muktamad mengenai pencalonannya pada PRN akan datang atau kedudukannya dalam barisan Kabinet selepas pilihan raya.
Untuk rekod, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pembubaran itu memberi laluan kepada PRN Sarawak Ke-13 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penting termasuk penamaan calon dan hari pengundian.
Sebelum ini, Abang Johari turut memaklumkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan gabungan muka baharu dan calon berpengalaman pada PRN akan datang, dengan senarai calon dimuktamadkan sebelum diumumkan kepada umum.
Oleh Masrin Affirah





