SERIAN, 22 Oktober: Seorang wanita hamil dan seorang pesakit jantung antara 38 Orang Yang Dipindahkan (OYD) warga Indonesia yang dipindahkan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, semalam.
Pemindahan menerusi jalan darat dari Depot Imigresen Semuja itu turut melibatkan seorang pesakit dari Hospital Serian yang memerlukan perhatian kesihatan khusus.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi berkenaan melibatkan 21 lelaki dan 14 perempuan, termasuk tiga individu yang memerlukan perhatian kesihatan khusus, iaitu seorang pesakit dari Hospital Serian, seorang pesakit jantung yang mempunyai masalah kesihatan serta seorang wanita hamil.

Operasi itu diketuai Komandan Depot Imigresen Semuja dengan kekuatan enam pegawai dan anggota pengiring.
Pergerakan OYD menggunakan kenderaan jabatan serta sebuah bas sewaan, selain mendapat bantuan iringan sebuah kereta Polis Peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serian bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Aspek keselamatan dan kebajikan OYD, khususnya mereka yang mempunyai keperluan kesihatan, diberikan perhatian sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

Kesemua 38 OYD kemudian diserahkan kepada pihak Perwakilan Indonesia menerusi Kepala Konsuler Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching, Musa Derek Sairwona.
JIM Sarawak memaklumkan keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan itu dilaksanakan dengan baik, selamat serta terkawal.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan pengurusan imigresen secara profesional, berintegriti serta berpandukan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Oleh Afiq Sallehi



