Wartawan Australia redah banjir selamatkan pemandu kereta hampir tenggelam

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar menunjukkan wartawan televisyen Australia menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di dalam sebuah kereta yang hampir tenggelam akibat banjir.

SYDNEY, Australia, 23 Oktober: Seorang wartawan televisyen Australia menceritakan detik mencemaskan ketika beliau berenang meredah air banjir yang semakin meningkat untuk menyelamatkan seorang lelaki dari sebuah kereta yang hampir tenggelam.

Will Murray, wartawan penyiar kebangsaan ABC, sedang membuat liputan banjir di Brisbane, Queensland, apabila beliau melihat sebuah kereta ditenggelami air.

Beliau berenang bersama seorang penduduk tempatan, Daniel Haley, sebelum memanjat ke atas kereta itu, membuka pintunya dan menyelamatkan pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

“Memang mengerikan melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan televisyen ABC Breakfast pada Jumaat.

“Syukurlah, pagi ini selepas tidur lena dan mungkin minum segelas dua wain merah malam tadi, saya berasa sihat,” tambahnya.

Haley berkata, penduduk tempatan telah memberikan gelaran baharu kepada wartawan itu.

“Mad Dog Murray… dia kini mempunyai nama baharu di sini,” katanya. – AFP