PETRA JAYA, 23 Oktober: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bakal meraikan seramai 4,423 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-30 tahun ini, meningkat 7.9 peratus berbanding tahun lalu.
Perkembangan itu memperlihatkan komitmen berterusan universiti berkenaan dalam memperluas akses pendidikan tinggi serta melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak dan negara.
Perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika menerima kunjungan hormat delegasi Unimas yang diketuai Naib Canselornya, Dato’ Dr. Ahmad Hata Rasit, di sini hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Uggah diberi taklimat mengenai pencapaian terkini Unimas, kejayaan yang diraih serta penemuan baharu hasil penyelidikan universiti yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negeri.
Taklimat itu turut memberi gambaran mengenai usaha Unimas memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menumpukan kecemerlangan akademik, malah mengembangkan penyelidikan dan inovasi untuk manfaat masyarakat.
Pada pertemuan itu, Uggah turut menerima jemputan rasmi untuk menghadiri Majlis Konvokesyen Unimas Ke-30 dan menyampaikan skrol kepada para graduan selaku Pro Canselor universiti berkenaan.
Peningkatan jumlah graduan tahun ini turut memperlihatkan usaha universiti dalam menyediakan lebih ramai tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran bagi menyokong keperluan sektor ekonomi serta pembangunan negeri.
Uggah berharap Unimas akan terus memperkukuh kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk melahirkan modal insan berkualiti.
Beliau turut berharap graduan yang dilahirkan Unimas dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat, negeri dan negara.
Kecemerlangan berterusan Unimas diharap dapat memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai negeri yang memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, penghasilan ilmu serta pembentukan tenaga kerja berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.
Oleh Adi Safarman





