Lisa Blackpink lancar EP solo pertama ‘Press Play’

Facebook
WhatsApp
LISA Blackpink lancar EP solo pertama 'Press Play'

SEOUL, 23 Oktober: Lisa, anggota kumpulan K-pop wanita BLACKPINK, kembali memeriahkan industri muzik pada Jumaat menerusi pelancaran album mini (EP) solo terbaharunya, ‘Press Play’, selepas setahun lapan bulan tidak mengeluarkan karya baharu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Album yang mengandungi enam lagu dan dilancarkan pada tengah malam itu merupakan EP solo pertama Lisa, menyusuli album studio sulungnya, ‘Alter Ego’, yang diterbitkan pada Februari tahun lepas.

Menampilkan ‘Tarantino’ sebagai lagu utama, EP berkenaan turut memuatkan lima lagu lain, iaitu ‘Sawadika’, ‘V12’, ‘Cobra’, ‘Cut U Off’ dan ‘Sweat’.

‘Sawadika’, yang dilancarkan lebih awal pada September, memasuki carta Billboard Hot 100 di kedudukan ke-69 sejurus selepas pelancarannya, sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi Lisa dalam carta berkenaan.

Kemunculan semula Lisa menyusuli satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya solonya apabila beliau memenangi anugerah Pop Terbaik menerusi lagu ‘Dream’ daripada album ‘Alter Ego’ pada Anugerah Muzik Video MTV (VMA) 2026 di Los Angeles bulan lepas. – Bernama