Pak Nil kongsi rahsia seni pengucapan berkesan menerusi ‘Show Ada Kelas’

Facebook
WhatsApp
IKON penyiaran tersohor, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil bercakap pada sidang media program eksklusif bertajuk Show Ada Kelas, semalam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Kelancaran dalam berbicara tidak menjamin keberkesanan komunikasi sekiranya seseorang itu tidak memiliki kebolehan dalam penyampaian.

Berbekalkan pengalaman empat dekad dalam industri komunikasi dan penyiaran, ikon penyiaran tersohor Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil akan berkongsi rahsia dan seni pengucapan berkesan menerusi program eksklusif bertajuk Show Ada Kelas.

Dianjurkan Icon Entertainment, program itu akan berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 November ini, dengan mengetengahkan pendekatan edutainment yang menggabungkan pembelajaran praktikal dan hiburan.

“Dalam Show Ada Kelas ini juga saya tidak mengajar cara bercakap sahaja tapi mengajar cara memastikan apa yang kita sampaikan ianya didengar. 

“Modul ini dirangka bagi membantu peserta daripada pelbagai latar belakang termasuklah ahli perniagaan, usahawan, pendidik, pencipta kandungan dan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas sidang media program itu semalam.

IKON penyiaran tersohor, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil bercakap pada sidang media program eksklusif bertajuk Show Ada Kelas, semalam. Foto Bernama

Aznil berkata penguasaan seni komunikasi merentas pelbagai bidang antaranya pengucapan awam, pembentangan profesional, rundingan perniagaan hinggalah penciptaan kandungan dan merupakan satu kemahiran yang dapat dipelajari dan dilatih.

Mengulas perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan manusia semakin bergantung pada teknologi untuk meluah perasaan, khususnya apabila AI kian berupaya mengenal pasti intonasi dan emosi menerusi rakaman suara.

Aznil berpandangan perkembangan itu boleh menjejaskan hubungan sesama manusia sekiranya individu lebih selesa berkongsi perasaan dengan mesin berbanding membina komunikasi dengan ahli keluarga dan orang sekeliling.

“Oleh itu, melalui program Show Ada Kelas ini, saya akan membimbing peserta untuk mengembalikan semula ‘rasa’ yang tulen dalam komunikasi seharian merangkumi nada tegas, rasa sedih, ataupun kekecewaan yang mendalam.

“Kesemua teknik pengucapan fleksibel ini tidak akan ditemukan di Internet, sebaliknya merupakan inti pati pengalaman berharga yang dikutip sepanjang empat dekad penglibatan saya dalam dunia komunikasi,” katanya.

Tiket program itu tersedia pada harga RM288 dan RM388 menerusi platform pembelian dalam talian rasmi Ticket2U. – Bernama