Penghuni terkejut anak ular sawa ‘sembunyi’ dalam bilik mandi

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Spaoh berjaya menangkap seekor anak ular sawa di sebuah rumah di Kampung Darat Serembang. Foto APM Spaoh

SPAOH, 23 Oktober: Hasrat seekor anak ular sawa untuk ‘menumpang mandi’ di sebuah rumah di Kampung Darat Serembang, terbantut apabila kehadirannya disedari penghuni rumah sebelum bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dipanggil.

Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada 8.30 pagi yang memaklumkan terdapat seekor ular di dalam bilik mandi rumahnya.

Susulan laporan itu, seramai empat anggota Skuad Bravo APM Spaoh diketuai Lans Koperal Pertahanan Awam (PA) Junai Abdul Samat bergegas ke lokasi dengan membawa peralatan khas untuk menangkap ular.

Setibanya di lokasi, anggota menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan seekor anak ular sawa sepanjang 0.9 meter yang bersembunyi di belakang sebuah baldi di dalam bilik mandi.

Kehadiran reptilia yang tidak diundang itu pastinya mengejutkan penghuni rumah, namun tindakan pantas anggota APM berjaya mengawal keadaan.

Anak ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan kaedah menyepit dalam operasi yang berjalan lancar, pantas dan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ular itu kemudian dibawa ke PKOD APM Spaoh untuk tindakan lanjut sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya, jauh dari kawasan penempatan penduduk.

APM Spaoh dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau mendekati ular sekiranya terserempak dengan reptilia berkenaan, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman