DEBAK, 23 Oktober: Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan pada telapak tangan kiri dan luka ringan di bahagian lutut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri ketika menunggang motosikal di Jalan Tuie-Debak, petang semalam.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Debak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum anggota digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan kepada mangsa.
Setibanya di lokasi, anggota APM Debak menjalankan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti tahap kecederaan mangsa.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan mengalami kecederaan pada telapak tangan kiri serta luka ringan di bahagian lutut akibat kemalangan tersebut.
Anggota APM kemudiannya memberikan bantuan awal berdasarkan keadaan dan keperluan mangsa, selain memastikan persekitaran di lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat.
Operasi bantuan dilaksanakan secara teratur bagi memastikan mangsa mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Dalam pada itu, kejadian berkenaan menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu atau menunggang kenderaan.
Pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Oleh Adi Safarman





