Pesta Kuih Bulan eratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Saratok

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri semasa menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Pesta Kuih Bulan peringkat SJKC Min Syn Saratok, Turut hadir ialah ADUN Krian, Friday Belik. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK, 23 Oktober: Sambutan Pesta Kuih Bulan bukan sekadar meraikan warisan budaya masyarakat Cina, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Daerah Saratok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, amalan meraikan perayaan bersama memperlihatkan keunikan kehidupan masyarakat Sarawak yang sentiasa mengutamakan keharmonian, sikap saling menghormati dan semangat kebersamaan.

Menurutnya, kepelbagaian kaum dan budaya bukan penghalang untuk masyarakat hidup bersatu, sebaliknya membuka ruang untuk saling mengenali, memahami serta menghargai antara satu sama lain.

“Kemeriahan sambutan pada malam ini memperlihatkan suasana harmoni apabila masyarakat Melayu, Iban dan Cina berkumpul bersama dalam satu majlis, menjamu selera serta beramah mesra.

“Inilah keindahan kehidupan masyarakat kita yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Pesta Kuih Bulan peringkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, semalam.

Mohamad Duri berkata, semangat perpaduan yang diamalkan masyarakat Saratok sejak turun-temurun perlu terus diperkukuh melalui sikap saling membantu, menghormati perbezaan dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga tutur kata, menghormati perasaan orang lain serta mengamalkan sikap prihatin, termasuk ketika berinteraksi di media sosial.

“Anak-anak perlu dibesarkan dalam persekitaran yang menyaksikan orang dewasa saling menghormati dan bekerjasama kerana teladan sedemikian merupakan antara asas penting dalam membentuk generasi yang menghargai perpaduan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata sekolah memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai institusi menimba ilmu, malah tempat membentuk sahsiah, membina persahabatan dan menyemai nilai tanggungjawab terhadap masyarakat.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada guru-guru atas komitmen mendidik murid, selain menggalakkan ibu bapa terus memberikan sokongan dan menjalin kerjasama erat dengan pihak sekolah demi perkembangan potensi anak-anak.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan masyarakat, alumni, sektor swasta dan para penyumbang bagi membantu memenuhi keperluan serta menambah baik kemudahan sekolah.

Menurutnya, majlis makan malam berkenaan turut bertujuan mengumpulkan dana bagi menyokong keperluan pembangunan sekolah, sekali gus memperlihatkan peranan masyarakat dalam memastikan kemudahan pendidikan terus dipertingkatkan.

Mohamad Duri turut mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengurus Sekolah dan jawatankuasa penganjur atas usaha menghimpunkan sokongan masyarakat demi kepentingan pendidikan.

Beliau berharap sumbangan yang diterima dapat diurus dengan penuh amanah dan disalurkan mengikut keutamaan bagi memberikan manfaat berpanjangan kepada warga sekolah.

Mengulas semangat kebersamaan masyarakat setempat, beliau turut menyentuh usaha Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She yang dipengerusikan Pemanca Lim Guan Ann, yang setiap hujung tahun menganjurkan program sumbangan bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum.

“Inisiatif berkenaan memperlihatkan amalan kebajikan dan sikap saling membantu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Saratok,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kawasan Saratok yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kalaka dan Krian, terus mengutamakan kerjasama dalam merancang pembangunan infrastruktur, selaras dengan usaha pembangunan luar bandar di Sarawak.

Mohamad Duri berharap semangat muhibah yang ditonjolkan menerusi sambutan Pesta Kuih Bulan itu akan terus diamalkan dalam kehidupan seharian, sekali gus memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat Saratok.

“Marilah kita menjadikan pendidikan sebagai harapan bersama, perpaduan sebagai pegangan dan kerjasama sebagai amalan demi menyediakan masa depan yang lebih baik untuk generasi seterusnya,” katanya.

Turut hadir ialah ADUN Krian, Friday Belik, Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah, Phang Puk Kung, wakil Pegawai Daerah Saratok, Hatta Adenan, Guru Besar SJKC Min Syn, Wong Poh Tien dan Yang Dipertua PIBG SJKC Min Syn, Dr. Choo Hsiu Ling.

Oleh Adi Safarman