SIBU: Sebanyak 60 unit lagi tukun tiruan jenis penghalang pukat tunda yang diperbuat daripada konkrit bernilai RM889,800 dilabuhkan di perairan laut Tanjung Sirik, Pulau Bruit, Daro.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol berkata, penurunan tukun tiruan berkenaan akan meningkatkan hasil nelayan dengan menyediakan tempat pembiakan hidupan marin.
Pada masa sama katanya, ini juga dapat menghalang penggunaan pukat tunda serta pencerobohan kawasan pesisir laut Sarawak oleh nelayan asing.
“Tukun tiruan yang diturunkan di kawasan Tanjung Sirik, Pulau Bruit sebenarnya kawasan penempatan nelayan yang terbesar di zon tengah terutama sekali di Pulau Bruit.
“Jadi, kita berterima kasih kepada pihak Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) kerana telah melancarkan penurunan tukun tiruan ini, sekali gus memberi manfaat kepada nelayan setempat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Melabuh Tukun Tiruan Jenis Penghalang di perairan laut Tanjung Sirik, Pulau Bruit, Daro, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, projek membina 60 unit tukun tiruan ini telah bermula tahun ini dan siap dalam tempoh masa empat bulan.
Bagaimanapun, katanya, berlaku sedikit kelewatan ke atas kemajuan projek disebabkan oleh kesan dari pandemik Covid-19.
“Inisiatif ini ada yang menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM20 juta dan kos untuk penurunan 60 unit (melibatkan) kos lebih kurang dalam RM890,000,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abdullah turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak juga turut komited memelihara kawasan marin dengan mewujudkan projek penanaman tukun tiruan jenis ‘Reefball’ di sepanjang kawasan perairan Sarawak.
“Projek penanaman tukun tiruan ‘Reefball’ oleh Kerajaan Negeri melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kos RM70 juta telah bermula sejak tahun 2018 dan dijangka siap tahun ini.
“Sehingga kini, SFC berjaya menanam sebanyak 600 tukun tiruan di Belawai-Paloh, perairan lawas (600), Igan-Mukah (1,200), Muara Tebas-Sebuyau (1,200), Pulau Bruit-Igan (660), Sampadi-Tanjung Datu (1,100),” katanya.
Jelas beliau, saiz tukun tiruan yang diselia bersama JPLS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) lebih besar berbanding tukun tiruan jenis ‘Reefball’ milik Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Abdullah turut mendedahkan bahawa beliau telah memohon kepada Ketua Menteri supaya sebuah cawangan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) diwujudkan di Tanjung Manis.
Katanya, pusat tersebut boleh memberi fokus kepada bidang penyelenggaraan enjin bot dan pembinaan bot baru.
“Jika diwujudkan sebuah cawangan CENTEXS di sini, kita mampu melahirkan warga nelayan yang terlatih dan lebih cekap pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir Pengarah JPLS Bohari Leng.
Oleh NURZILLA MOHAMAD