KUCHING, 23 Oktober: Polis menahan tujuh warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi sebagai pusat panggilan di sebuah rumah di Jalan Datuk Tawi Sli di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Sarawak kira-kira 10.45 malam tadi.
Beliau berkata tujuh suspek yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 33 hingga 44 tahun.
“Polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil siasatan dan analisis awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari negara jiran.
Kesemua suspek dipercayai bekerja sepenuh masa dalam kegiatan tersebut.
Alexson berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakatan jenayah, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan, denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada 23 Oktober dan perintah reman selama tiga hari telah diluluskan bagi membantu siasatan.
Alexson turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching menerusi talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng





