PETRA JAYA, 23 Oktober: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dibubarkan petang ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Menurut jemputan media dikeluarkan pejabat Premier Sarawak, satu sidang media khas akan diadakan di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada 3.30 petang.
DUN Sarawak bersidang buat kali terakhir bagi penggal ini pada Rabu lalu, yang turut menyaksikan Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan.
Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi akan berakhir pada Februari 2027.
Pada PRN Sarawak yang diadakan 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencatat kemenangan besar dengan meraih 76 daripada 82 kerusi dipertandingan.
GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak. Ini setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April lalu iaitu PSB menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).
Kini hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP dalam DUN dan seorang ADUN Bebas.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang hanya akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN kali ini kemungkinan diadakan lebih awal daripada tarikh luput Februari depan.





