KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Labuan serta tujuh negeri hingga 12.00 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah, iaitu di Langkawi serta Perak di Manjung, Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Larut Matang dan Kerian.
Amaran turut dikeluarkan untuk Pahang di Maran, Temerloh, Bentong, Bera dan Rompin selain Sabak Bernam di Selangor.
Di Johor, kawasan terlibat ialah Segamat, Tangkak dan Muar manakala Sarawak meliputi Mukah (Tanjung Manis dan Daro) serta Miri.
Amaran sama dikeluarkan bagi Sabah, iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Putatan dan Papar), Pedalaman (Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu) serta Sandakan (Kinabatangan). – Bernama




