Remaja 13 tahun disiasat selepas dipercayai mencederakan lelaki 69 tahun guna pisau

Facebook
WhatsApp
DISIASAT… Remaja Lelaki disiasat selepas dipercayai dicederakan menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah tandas awam semalam. Foto IPD Kanowit

KANOWIT, 23 Oktober: Seorang lelaki berusia 69 tahun mengalami kecederaan ringan di bahu kiri selepas dipercayai dicederakan menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah tandas awam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 3.29 petang semalam.

Menurutnya, maklumat awal mendapati seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dipercayai mencederakan mangsa menggunakan sebilah pisau.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Kanowit dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahu kiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta mendapatkan bukti-bukti berkaitan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini demi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak terlibat,” tegasnya.

Oleh Akun Giman