Terbuka Perancis 2026: Pang Ron-Pei Jing mara ke suku akhir

Facebook
WhatsApp
HOO Pang Ron dan Lai Pei Jing meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Perancis 2026 selepas mencatat kemenangan sengit dalam pertarungan tiga set menentang beregu Taiwan. Foto Badminton Association Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mara ke suku akhir Terbuka Perancis 2026 selepas menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin-Hui di Tremblay-en-France hari ini.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 51 minit di Arena Grand Paris, pasangan Malaysia itu berjaya mengekalkan ketenangan pada set penentuan untuk mencatat kemenangan 21-13, 13-21, 21-17.

Menanti Pang Ron-Pei Jing di suku akhir ialah gandingan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen.

Pasangan Jerman itu menempah slot ke suku akhir selepas mengejutkan gandingan nombor dua dunia dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 14-21, 22-20 dalam pertarungan sengit tiga set.

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Perancis 2026 susulan penarikan diri pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul. Foto Badminton Association Malaysia (BAM).

Sementara itu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir tanpa perlu turun ke gelanggang susulan penarikan diri gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul.

Ini memberikan Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat rehat berharga dalam menumpukan persiapan bagi perlawanan suku akhir.

Mereka bakal berdepan sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.- Bernama