KUCHING, 22 Oktober: Seorang pemandu lori berusia 56 tahun maut selepas lori dumper yang dipandunya terbabas dan terbalik ke dalam parit di Kilometer 18.5, Jalan Bau-Lundu berhampiran Kampung Stenggang, Bau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira 10.30 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tayar lori berkenaan pecah sehingga menyebabkan bahagian hadapan tayar tercabut sebelum kenderaan itu hilang kawalan, terbabas dan terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan ketika menghala ke Lundu.
“Pemandu tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bau mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 12.34 tengah hari oleh pembantu perubatan dari Hospital Bau.

Mohd Haide berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada 9.00 pagi esok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
“Lori dumper berkenaan turut ditahan untuk pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.
Beliau berkata, polis sedang giat mengesan saksi kejadian serta mengumpul bukti bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Haide memaklumkan bahawa aliran trafik di lokasi kejadian tidak terjejas memandangkan kemalangan berlaku di luar waktu puncak.
Oleh Connie Chieng





