SEMALAM kempen Piala Malaysia musim 2021 disingkap dengan 16 pasukan terdiri daripada daripada 11 pasukan teratas Liga Super dan lima dari Liga Premier layak beraksi merebut kejuaraan pada kali ini.
Kumpulan A terdiri daripada Penang FC, Pahang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC manakala Kumpulan merangkumi Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC serta Kuching City FC.
Bagi kelompok Kumpulan C pula membabitkan Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC, Melaka United dan Kelantan United FC sambil JDT I, PJ City, Sabah dan Kelantan FC berada dalam Kumpulan D.
Kempen Piala Malaysia 2021 kali ini juga akan menyaksikan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu menjanjikan satu kehangatan bersempena ulang tahun ke-100 pada musim ini.
Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.
Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.
Sebanyak 48 perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan, lapan di peringkat suku akhir, empat bagi separuh akhir dan satu perlawanan akhir dengan jumlah keseluruhan adalah 61 perlawanan.
Di peringkat suku akhir, juara Kumpulan A bakal bertemu naib juara Kumpulan B sementara Juara Kumpulan B menentang naib juara Kumpulan A.
Dua lagi perlawanan suku akhir akan membabitkan juara Kumpulan C dan naib juara Kumpulan D manakala juara Kumpulan D berdepan naib juara Kumpulan C.
Pemenang pertemuan juara Kumpulan A/naib juara Kumpulan B akan bertemu pemenang juara Kumpulan C/ naib juara Kumpulan D di peringkat separuh akhir.
Satu lagi separuh akhir membabitkan pemenang juara Kumpulan B/ naib juara Kumpulan A dan pemenang juara Kumpulan D / naib juara Kumpulan C.
Dua pemenang pada peringkat separuh akhir ini akan bertemu pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 30 November.
Menariknya pada kempen musim 2021 ini, dua pasukan dari Bumi Kenyalang iaitu Sarawak United FC dan Kuching City FC bakal memburu tempat ke pusingan seterusnya buat peminat dan penyokong di negeri ini.
Bagi Sarawak United FC di bawah bimbingan E.Elavarasan yang hanya berpuas hati selepas muncul naib juara Liga Premier 2021, dijangka berupaya melakukan kejutan dalam saingan peringkat kumpulan nanti.
Berada dalam Kumpulan A bersama Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC, peluang skuad yang dikenali ‘Kenyalang Emas’ dilihat agak seimbang berdasarkan barisan pemain yang dimiliki Elavarasan.
Ini kerana, rata-rata pemain yang dimiliki Sarawak United adalah berpengalaman dan tidak keterlaluan jika dikatakan peluang melepasi peringkat kumpulan tetap terbuka.
Malah, barisan pemain melaungkan azam untuk memberikan fokus terbaik selepas usaha merangkul kejuaraan Liga Premier 2021 terkandas di penghujung saingan.
Menurut pemain sayap Sarawak United FC, S. Chanthuru, dia dan rakan-rakannya mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia kali ini.
“Pemain-pemain telah mencuba sedaya upaya dengan berikan lebih seratus peratus cuma nasib jelas tidak menyebelahi namun apa yang penting kami telah berada di Liga Super, musim depan.
“Jika dilihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, tahap kami sememangnya sama dengan pasukan Liga Super sekali gus cuba meletakkan sasaran layak sejauh mana yang boleh,” katanya baru-baru ini.
Turut berkongsi kenyataan ialah Ketua Pasukan Sarawak United, Taylor Regan yang merasakan pasukannya layak dinobatkan naib juara Liga Premier setelah melepaskan kelebihan lima mata yang dimiliki ke atas Skuad Hobin Jang Hobin.
“Mungkin apa yang terjadi dengan pasukan pada perlawanan terakhir ada memberikan sedikit kesan tetapi saya tidak mahu berikan sebarang alasan di sebalik kegagalan kami.
“Kepada penyokong Sarawak, terima kasih di atas sokongan anda semua malah saya hargai dengan segala kata-kata penghargaan dalam beberapa hari ini, kami telah cuba sedaya upaya untuk menang dan sekarang berazam melakar kejutan pada saingan Piala Malaysia kali ini.
“Cuma bezanya tidak ada tekanan berbanding di Liga Premier kerana kami dituntut mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi di Piala Malaysia, kami tidak akan rasainya dan ini mungkin memberikan sedikit kelegaan buat pemain beraksi lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Kuching City DC, Irfan Bakti Salim menghambur pujian kepada barisan pemainnya kerana kerja keras dilaburkan sepanjang perlawanan Liga Premier musim ini.
Malah, Pengurus Pasukan, Ideris Untong turut mengucap tahniah kepada pemain atas kemenangan yang diperolehi itu.
“Syukur….akhirnya kami berjaya layak ke Piala Malaysia 2021. Syabas dan tahniah kepada semua pemain,” katanya.
Kepada skuad Sarawak United FC dan Kuching City FC…selamat berjuang diucapkan semoga perjuangan meletakkan pasukan dari Bumi Kenyalang menjulang trofi Piala Malaysia musim 2021 bakal menjadi kenyataan.