MPB perkasa kemahiran 40 bakal pengusaha lada di Sarawak

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 40 peserta dari Bintulu, Tatau, Miri, Belaga dan Merit, Kapit menyertai Kursus Teknologi Penanaman dan Penyelenggaraan Lada (KTPPL) Siri 8 Tahun 2026 yang berlangsung di Bintulu. Foto MPB

KUCHING, 21 Oktober: Lembaga Lada (MPB) terus mempergiat usaha memperkasa sektor tanaman lada di Sarawak menerusi latihan teknikal kepada bakal pengusaha bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan mereka dalam mengusahakan tanaman komoditi itu.

Seramai 40 peserta dari Bintulu, Tatau, Miri, Belaga dan Merit, Kapit menyertai Kursus Teknologi Penanaman dan Penyelenggaraan Lada (KTPPL) Siri 8 Tahun 2026 yang berlangsung di Bintulu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan MPB, kursus itu memberi penekanan kepada tiga aspek utama dalam pengusahaan lada, iaitu penghasilan keratan lada berkualiti, penjagaan pokok dan pengendalian hasil selepas tuaian.

Program anjuran Bahagian Perkhidmatan Tanaman dengan kerjasama Pejabat Wilayah Sarawak itu bertujuan meningkatkan keupayaan peserta untuk memulakan atau mengembangkan perusahaan tanaman lada masing-masing.

Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha kerajaan menambah bilangan penanam serta memperluas kawasan tanaman lada di Sarawak, sekali gus memperkukuh potensi komoditi itu sebagai sumber pendapatan masyarakat.

Bagi memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh, sebahagian sesi pembelajaran dilaksanakan secara amali di kebun lada di Rumah Suka.

Menerusi sesi itu, peserta berpeluang menjalani latihan menanam keratan lada serta menyaksikan demonstrasi penghasilan baja organik dan kompos.

Latihan praktikal berkenaan melengkapi sesi penerangan mengenai kaedah penyelenggaraan pokok lada yang betul bagi membantu pengusaha mengurus tanaman dengan lebih berkesan.

Selain aspek teknikal, peserta turut diberikan penerangan mengenai BUDI Agri-Komoditi bagi meningkatkan pemahaman mereka tentang bantuan dan sokongan kerajaan yang disediakan untuk sektor komoditi.

Majlis penangguhan kursus disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) MPB, Florence Sanjan, dengan kehadiran Ketua Pejabat Cawangan Bintulu dan Belaga.

Melalui penganjuran kursus seumpama itu, MPB berharap lebih ramai bakal pengusaha dapat menguasai teknologi penanaman lada, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri lada yang lebih mampan dan berdaya saing di Sarawak.

Oleh Adi Safarman