KUCHING, 21 Oktober: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) DPHA Gapor menerima sumbangan RM84,000 bagi pembelian tujuh unit tambahan televisyen interaktif pintar (Smart Interactive TV) dalam usaha memperkukuh kemudahan pembelajaran digital di sekolah berkenaan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, penambahan kemudahan itu akan melengkapi 14 unit Smart Interactive TV dan 20 unit papan putih interaktif pintar yang sedia ada di sekolah tersebut.
Beliau berkata, penggunaan teknologi interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mampu membantu guru menyampaikan sesuatu konsep dengan lebih berkesan, selain menggalakkan penyertaan aktif pelajar di dalam bilik darjah
“Saya percaya SMK DPHA Gapor merupakan antara sekolah menengah terawal di Kuching yang mendapat manfaat daripada kemudahan Smart Interactive TV dan papan putih interaktif pintar ini, dan saya gembira melihat peralatan tersebut digunakan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan baru-baru ini bagi meninjau penggunaan kemudahan pembelajaran digital yang telah disediakan sebelum ini.
Dalam lawatan tersebut, Kong turut menyerahkan cek bernilai RM84,000 kepada pihak sekolah bagi membantu pembelian tujuh unit tambahan Smart Interactive TV.
Menurutnya, beliau berpuas hati melihat guru dan pelajar memanfaatkan kemudahan sedia ada bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, interaktif dan berkesan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyediaan peralatan sahaja tidak mencukupi tanpa pemantauan susulan serta maklum balas daripada guru dan pelajar mengenai keberkesanan penggunaannya.
“Maklum balas mereka membantu kami memahami apa yang berkesan dan di mana bantuan tambahan mungkin diperlukan,” katanya.
Kong berkata, pendidikan merupakan pelaburan penting untuk masa depan, justeru usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran semasa.
Katanya, sokongan terhadap sekolah bukan sahaja melibatkan penyediaan peralatan, malah merangkumi usaha melengkapkan guru dengan kemudahan yang diperlukan bagi membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik.
Sehubungan itu, beliau bertekad untuk terus menjalin hubungan dengan sekolah-sekolah tempatan bagi mengenal pasti keperluan serta menyalurkan bantuan yang bersesuaian.
Beliau percaya setiap penambahbaikan kemudahan pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini mampu membuka peluang lebih baik kepada generasi muda pada masa hadapan.
Oleh Connie Chieng





