The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saint menghulurkan sumbang RM864,130 naik taraf kemudahan Hospital Sibu

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN......Dr Nanthakumar (lima kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Roger (enam kanan) di Hospital Sibu, hari ini.

SIBU, 21 Oktober: The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saint menghulurkan sumbangan bernilai RM864,130 kepada Hospital Sibu bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur dan menyediakan peralatan perubatan demi meningkatkan keselesaan dan kualiti penjagaan pesakit.

Sumbangan itu termasuk kerja menaik taraf tandas di lapan wad, pemasangan 24 unit penghawa dingin di enam wad dan penyediaan pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan

Antara peralatan yang disumbangkan ialah seunit jet ventilator bernilai RM370,000 untuk Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), stesen pemprosesan spesimen tisu (grossing station) bernilai RM215,000 dan mesin elektrokardiogram (ECG) bernilai RM6,000.

Turut disumbangkan ialah 12 unit penghadang privasi pesakit bernilai RM7,800 dan sebuah kabinet penyimpanan slaid makmal bernilai RM1,630.

Selain itu, sebanyak RM120,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf tandas, manakala RM143,700 bagi pemasangan penghawa dingin.

TERIMA KASIH…..(dari dua kiri, barisan depan) Chua, Dr Nanthakumar, Pamela, Roger merakam kenangan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saint di Hospital Sibu, hari ini.

Menurut wakil gereja yang juga sukarelawan kemanusiaan, Elder Roger Walker, inisiatif kemanusiaan itu bermula selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu pada Julai 2025 bagi mengenal pasti keperluan mendesak hospital tersebut.

Katanya, pertemuan itu memberi peluang kepada pihak gereja memahami cabaran yang dihadapi hospital, khususnya dari segi keperluan peralatan kritikal dan penambahbaikan kemudahan.

“Ketika pertemuan itu, kami diberi penerangan mengenai keperluan peralatan kritikal dan kemudahan hospital, selain dibawa melawat kawasan hospital bagi melihat sendiri keadaan dan keperluan yang ada.

“Pengalaman itu membuka mata kami terhadap pengorbanan doktor, jururawat dan seluruh kakitangan hospital yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” ujarnya pada penyerahan sumbangan tersebut di Hospital Sibu, hari ini.

Roger berkata, hasil lawatan dan perbincangan bersama pihak pengurusan hospital, projek kemanusiaan berkenaan berjaya direalisasikan dengan kerjasama semua pihak terlibat.

Katanya, sumbangan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan pesakit dan kakitangan hospital, malah membantu memperkukuh keupayaan hospital menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.

:Kami percaya kasih sayang perlu diterjemahkan melalui tindakan dengan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Menjadi satu penghormatan kepada kami untuk menyumbang kepada projek kemanusiaan ini yang diharap dapat memberikan manfaat kepada ramai pesakit untuk tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Beliau berharap peralatan yang disumbangkan itu memberi manfaat kepada pelbagai jabatan dan wad di Hospital Sibu, termasuk Jabatan Patologi, Wad Pembedahan Lelaki, NICU, Unit Rawatan Rapi Pediatrik dan Jabatan Kecemasan.

Sementara itu, Dr Nanthakumar menyambut baik sumbangan tersebut bagi menaik taraf kemudahan hospital, termasuk tandas, pemasangan penghawa dingin dan penyediaan peralatan perubatan.

“Pihak hospital amat menghargai sumbangan ini yang membantu menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada kakitangan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan menerusi pelbagai inisiatif pada masa hadapan bagi memperkukuh kemudahan dan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan,” kata beliau.

Turut hadir pengurus kemanusiaan gereja, Eugene Chua dan sukarelawan kemanusiaan, Sister Pamela Walker.

Oleh Akun Giman