PETRA JAYA, 20 Oktober: Sarawak merekodkan 146 kes rogol, 120 kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, 41 kes cabul dan 14 kes liwat bagi tempoh Januari hingga 18 September 2026, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik berkenaan menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai pencegahan jenayah seksual, perlindungan dan sokongan psikososial kepada mangsa.
“Statistik ini menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan, perlindungan dan sokongan psikososial mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Fatimah berkata, kementerian telah melaksanakan Wacana Bestari dan Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) Bersama Komuniti di bawah Program Intervensi Sosial Bersepadu Sarawak (ISSIP) Focus 2026 di Miri, Sibu dan Kuching.
Program yang berlangsung pada 9 hingga 10 September di Miri, 23 hingga 24 September di Sibu serta 1 hingga 2 Oktober di Kuching itu melibatkan 363 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Menurutnya, program berkenaan memberi tumpuan kepada pengenalpastian risiko, cabaran membuat laporan, tindakan awal, pemeliharaan bukti serta akses kepada perlindungan dan sokongan psikososial mangsa.
“Dapatan awal program ini telah mengetengahkan risiko eksploitasi seksual, cabaran stigma dan kelewatan pelaporan, ketidakjelasan tindakan awal serta akses kepada perlindungan dan sokongan mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, pandangan komuniti turut dikumpulkan bagi mengenal pasti keperluan intervensi yang lebih berfokus, khususnya dalam memperkukuh peranan agensi, keluarga, komuniti dan NGO dalam menangani isu berkenaan.
Oleh Adele Rissa




