Setiausaha politik Premier Sarawak pertahan keputusan Speaker arah ADUN Pending keluar Dewan

Facebook
WhatsApp
LIMA Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak ketika sidang media berhubung keputusan Speaker mengarahkan ADUN Pending, Violet Yong, keluar Dewan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kuching, hari ini.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Lima Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempertahankan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, keluar dari Dewan selepas beliau enggan menarik balik perkataan ‘pengecut politik’ (political coward).

Mereka ialah Kho Teck Wan, William Anut, Angellie Stephen Raja, Kua Jack Seng dan Niponi Undek yang memberikan kenyataan pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Mereka berpandangan DUN sepatutnya menjadi platform bagi wakil rakyat menyuarakan masalah rakyat, membahaskan dasar kerajaan dan memperjuangkan kepentingan kawasan masing-masing, bukannya tempat mencetuskan pertelingkahan.

Menurut mereka, setiap wakil rakyat perlu menghormati Peraturan Mesyuarat serta keputusan Speaker bagi memastikan perjalanan persidangan berlangsung dengan tertib.

Mereka menyifatkan keengganan menarik balik perkataan yang diputuskan sebagai tidak berparlimen itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab, terutama apabila wakil rakyat berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam persidangan Dewan.

Mereka turut berpandangan tindakan yang membawa kepada arahan keluar Dewan boleh menjejaskan peluang wakil rakyat untuk menyampaikan isu dan kepentingan pengundi masing-masing.

 LIMA Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan, William Anut, Angellie Stephen Raja, Kua Jack Seng dan Niponi Undek ketika menyatakan pendirian mereka mempertahankan keputusan Speaker DUN Sarawak mengarahkan ADUN Pending, Violet Yong, keluar Dewan susulan pertikaian berhubung penggunaan perkataan ‘political coward’.

Dalam kenyataan itu, mereka menjelaskan bahawa tindakan terhadap Violet Yong bukan semata-mata disebabkan penggunaan perkataan “political coward”, sebaliknya turut berkaitan keengganannya mematuhi arahan menarik balik perkataan itu serta tindakannya yang disifatkan sebagai tidak menghormati Speaker.

Mereka menyamakan kepentingan menghormati Speaker ketika persidangan dengan keperluan menghormati hakim dalam prosiding mahkamah.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Speaker dan permintaan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, supaya perkataan berkenaan ditarik balik kerana dianggap tidak sesuai digunakan dalam persidangan Dewan.

Mereka berharap DUN Sarawak terus menjadi ruang perbahasan yang matang dan berhemah, khususnya ketika wakil rakyat membincangkan Belanjawan Sarawak 2027.

Terdahulu, Speaker memutuskan perkataan ‘political coward’ yang digunakan Violet Yong terhadap Lee ketika sesi penggulungan pada 19 Oktober sebagai tidak berparlimen, menghina dan menjatuhkan maruah, sebelum mengarahkan perkataan itu dipadamkan daripada Hansard.

Keputusan itu dibuat susulan usul yang dikemukakan Lee berdasarkan Peraturan Mesyuarat 32(4), yang melarang penggunaan bahasa menghina atau mengaibkan terhadap Ahli Dewan.

Oleh Afiq Sallehi