KUCHING, 20 Oktober: Penglibatan belia, kerjasama dalam kalangan petani dan pembangunan infrastruktur luar bandar menjadi keutamaan bagi memastikan sektor pertanian Sarawak terus berkembang secara mampan dan menguntungkan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, golongan muda yang bertenaga, mudah dilatih dan berpengetahuan perlu digalakkan menceburi bidang pertanian bagi menjamin kesinambungan sektor itu.
“Kita perlu memikirkan bagaimana hendak menarik golongan muda untuk menceburi bidang ini kerana mereka mempunyai tenaga, mudah dilatih dan berpengetahuan. Mereka merupakan pemangkin penting untuk memastikan sektor pertanian bukan sahaja menguntungkan, tetapi juga mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, petani juga perlu mengukuhkan kerjasama melalui persatuan, kelompok tani dan pendekatan berasaskan kluster bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta pemasaran hasil pertanian.
“Setiap petani tidak boleh melakukan semuanya sendiri. Kita perlu bekerjasama, membentuk kelompok dan memanfaatkan persatuan yang ada supaya usaha yang dilaksanakan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan pertanian perlu turut meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, namun kekurangan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan komunikasi dan capaian internet masih menjadi cabaran yang perlu ditangani.
Katanya, sebanyak 64 peratus daripada Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM15.09 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan jalan raya dan jalan pertanian serta peningkatan kemudahan asas untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Oleh Norman B




