PETRA JAYA, 20 Oktober: Penyelidikan padi saka dan percubaan padi hibrid berpotensi meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi membantu Sarawak mencapai sasaran tahap sara diri 60 peratus menjelang 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penyelidikan padi saka yang membolehkan tanaman dituai berulang kali tanpa perlu ditanam semula sedang dilaksanakan menerusi kerjasama Borneoland Paddy Sdn Bhd dengan Universiti Yunnan.
“Penyelidikan padi saka berpotensi mengurangkan kos pengeluaran dan keperluan tenaga kerja kerana tanaman ini boleh dituai berulang kali tanpa perlu ditanam semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Menurutnya, penuaian pertama percubaan padi saka dilaksanakan di Kuala Baram, Miri pada 6 Ogos 2026, manakala penuaian kedua dijangka pada November ini.
Percubaan seterusnya pula dirancang di Jemoreng dan Daro di Mukah serta Lubok Punggor di Samarahan bagi menilai kesesuaian kaedah penanaman itu di kawasan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, percubaan penanaman padi hibrid di Debak, Sarikei, Tanjung Purun dan Lundu turut menunjukkan hasil memberangsangkan antara lapan hingga 12 tan metrik sehektar, dengan potensi untuk ditingkatkan lagi.
“Percubaan penanaman padi hibrid yang mencatatkan hasil antara lapan hingga 12 tan metrik sehektar menunjukkan potensi untuk meningkatkan produktiviti dan memperkukuh pengeluaran beras tempatan bagi mencapai sasaran tahap sara diri beras Sarawak sebanyak 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Pada 2025, Sarawak mengusahakan kira-kira 37,000 hektar tanaman padi, melibatkan sekitar 40,000 pesawah dengan pengeluaran sebanyak 78,000 tan metrik padi, bersamaan kira-kira 47,000 tan metrik beras.
Bagi memperluas penanaman padi berskala besar, sebanyak 48 kawasan berpotensi dikenal pasti melibatkan kira-kira 14,000 hektar, dengan 10 projek seluas 3,460 hektar sedang dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat mulai 2027.
Projek berkenaan termasuk pembangunan infrastruktur di Tanjung Purun dan Lubok Punggor bagi menyokong aktiviti penanaman padi secara lebih sistematik dan produktif.
Dalam usaha meningkatkan produktiviti tanaman, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sarawak turut menilai 10 varieti padi baharu di Skuduk-Chupak dan Batang Lupar.
Sarawak juga memperuntukkan 144 hektar tanah bagi pengeluaran benih padi, dengan bekalan benih tempatan yang diperakui dijangka tersedia mulai 2027, tertakluk kepada kesiapsiagaan kemudahan pemprosesan dan proses pensijilan.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif itu dijangka membantu meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh rantaian bekalan benih tempatan dan mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap bekalan beras dari luar.
Oleh Norman B




