PETRA JAYA, 20 Oktober: Kerja penggantian bumbung Dewan Suarah Sibu dijangka siap pada Ogos 2027 selepas projek itu dianugerahkan pada Oktober lalu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menaik taraf kemudahan komuniti bagi meningkatkan aspek keselamatan, fungsi dan kesediaan premis untuk menganjurkan pelbagai acara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Menurutnya, kerja penggantian bumbung blok menara utama Dewan Suarah Negeri Kuching telah siap pada Mei lalu.
Sementara itu, cadangan naik taraf Fasa 2 Dewan Suarah Negeri Kuching akan dikemukakan dalam semakan pertengahan penggal akan datang.

Abdul Karim berkata, projek naik taraf Dewan Suarah di seluruh Sarawak diberi keutamaan semula bagi memastikan kemudahan berkenaan lebih selamat, berfungsi dengan baik dan bersedia digunakan untuk penganjuran acara pada pelbagai peringkat.
Bagi memastikan kemudahan sukan dan komuniti dapat diurus secara berkesan serta mampan, kementerian turut meneroka pelbagai model pengurusan, termasuk Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
Pendekatan itu bertujuan memanfaatkan kepakaran, inovasi dan sumber sektor swasta, selain mengoptimumkan penggunaan kemudahan serta meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan beban kewangan jangka panjang kerajaan.
Oleh Shikin Mahmud



