PETRA JAYA, 20 Oktober: Sebanyak 6.83 juta carian penerbangan ke Sarawak dari seluruh dunia direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menunjukkan minat yang tinggi terhadap negeri ini sebagai destinasi pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, angka itu diperoleh menerusi data Teknologi Perjalanan Global (GTT) yang digunakan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk memantau permintaan perjalanan ke negeri ini.

“STB kini mengintegrasikan data GTT dan analisis data raya bagi memantau prestasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan serta membandingkannya dengan destinasi pesaing.
“Papan pemuka data raya ini membolehkan kita memantau hubungan penerbangan, permintaan perjalanan, perancangan pasaran dan prestasi destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, promosi pelancongan Sarawak melalui pelbagai platform digital turut merekodkan lebih 400 juta paparan sepanjang tahun ini.
“Pencapaian itu disokong kerjasama strategik STB dengan platform pelancongan dan tempahan perjalanan antarabangsa termasuk Amadeus, Traveloka, Tripadvisor, Tripzilla, Ctrip, Qunar, Skyscanner dan Expedia.
“Sebagai perbandingan, STB merekodkan lebih 644 juta paparan menerusi pelbagai platform digital sepanjang 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaiknya setakat ini,” jelasnya.
Untuk rekod, sektor pelancongan Sarawak merekodkan 3.52 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM9 bilion, bersamaan purata RM1 bilion sebulan.
Pasaran ASEAN kekal sebagai penyumbang utama ketibaan pelawat, dengan Brunei dan Indonesia merangkumi 46.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelawat ke Sarawak.
Sarawak menerima 4.97 juta pelawat sepanjang 2025 dengan hasil pelancongan kira-kira RM12.67 bilion.
Oleh Masrin Affirah



